mutakhir

'Sepatutnya Jabatan Veterinar maklum saya dahulu' [METROTV]

Oleh Farah Suhaidah Othman

IBU kepada seorang kanak-kanak perempuan digigit anjing yang dijangkiti virus rabies di Kuala Sepetang, Taiping, 4 Julai lalu, kecewa atas kelewatan Jabatan Veterinar Perak memaklumkan hasil ujian terhadap anjing miliknya.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Ooi, 40, mengetahui perkara itu semalam sebaik dimaklumkan rakannya yang membaca berita di dalam media sedangkan pihak Jabatan Veterinar memberitahu akan memaklumkan hasil ujian itu kepadanya hari ini.

"Sepatutnya mereka memberitahu saya sendiri sebelum melaporkan kepada media kerana perkara itu mengakibatkan saya dan ahli keluarga lain menerima banyak gangguan dari orang luar bertanyakan tentang hal ini.

"Namun semalam saya dapat panggilan telefon daripada mereka dan menyatakan pihak mereka akan datang sendiri ke rumah dan memaklumkan perkara itu pada Isnin (hari ini).

"Bagaimanapun semalam saya lihat beberapa kakitangan Jabatan Veterinar menjalankan pemeriksaan di kawasan sekitar namun tiada seorang pun memaklumkan perkara itu kepada saya," katanya ketika ditemui di Kuala Sepetang hari ini.

Ooi berkata anak perempuannya yang berusia 12 tahun manakala anak saudara perempuannya berusia 11 tahun berada dalam keadaan sihat dan meneruskan sesi persekolahan seperti biasa.

"Kedua-duanya tidak dimasukkan ke wad sebaliknya menerima rawatan susulan di Hospital Taiping dan kedua-duanya akan diberikan suntikan pada Rabu ini di hospital berkenaan.

Menurutnya, doktor veterinar yang merawat anjing peliharaannya memaklumkan haiwan itu mengalami kesan gigitan di bahagian kemaluan dan kemungkinan ia digigit oleh anjing disebabkan tidak menunjukkan tanda-tanda penyakit itu.

Anjing milik Ooi mati pada Khamis lalu selepas mengigit dua kanak-kanak perempuan berusia 11 dan 12 tahun pada 4 Julai lalu sebelum Jabatan Veterinar mengesahkan anjing berkenaan positif virus itu.

Bagaimanapun, Jabatan Kesihatan Negeri Perak semalam mengesahkan kedua-dua kanak itu bebas daripada wabak anjing gila atau rabies.

Disiarkan pada: July 17, 2017 @ 3:19pm
d