mutakhir

Kelantan siap siaga hadapi wabak rabies

Oleh Mohamad Zulhairie Manzaidi

JABATAN Kesihatan Negeri Kelantan menyediakan vaksin di empat hospital di negeri ini sebagai persediaan untuk menghadapi penyakit anjing gila atau rabies.

Timbalan Pengarah Kesihatan Awam Jabatan Kesihatan negeri Dr Junaideen Mohamad Zain berkata, empat hospital yang menyediakan vaksin itu adalah Tanah Merah, Tumpat, Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu dan Pasir Mas.

"Selain itu, kita juga sudah mengarahkan fasiliti kesihatan di negeri ini melaporkan terus kepada Unit Kawalan Penyakit jika terdapat kes gigitan anjing dan kucing.

"Biarpun sehingga hari ini masih belum ada kes penyakit anjing gila dilaporkan di negeri ini, pihak kami tetap berwaspada," katanya ketika ditemui selepas majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) Peraturan Kesihatan Antarabangsa 2005(IHR 2005) di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Pengkalan Kubor, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Junaideen berkata, pemantauan atau saringan juga akan dilakukan kepada individu yang masuk ke negeri ini terutamanya dari Sarawak.

"Saringan dan ujian kesihatan akan dilakukan kepada orang ramai yang baru pulang atau penduduk dari Sarawak yang datang ke negeri ini.

"Ia adalah sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan negeri ini bebas daripada rabies," katanya.

Disiarkan pada: July 17, 2017 @ 5:42pm
d