mutakhir

Misteri bau busuk terjawab

Oleh Omar Osman

BAU busuk dari sebuah rumah yang dihidu penduduk Taman Sri Kota, Kota Kuala Muda, Sungai Petani terjawab apabila polis menemui mayat lelaki, hari ini.

Mayat mangsa Mohd Khifni Mohd Akhir, 59, ditemui 4 petang dalam keadaan duduk di dapur dan dipercayai sudah meninggal dunia sejak beberapa hari lalu.

Mohd Khifni yang bertugas sebagai kakitangan awam Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Butterworth, Pulau Pinang tinggal sendirian selepas berpisah dengan isterinya.

Saksi yang mahu dikenali sebagai Man, 45, berkata penduduk mula menghidu bau busuk sejak pagi ini dari rumah itu sebelum memeriksanya.

Katanya, penduduk kemudian memaklumkan perkara itu kepada anggota Balai Polis Kota Kuala Muda dan polis yang tiba menemui mayat mangsa dalam keadaan terduduk di bahagian dapur rumah.

“Sebelum ini, penduduk tidak melihat Mohd Khifni keluar daripada rumahnya sejak beberapa hari lalu, namun tidak mengesyaki kejadian buruk kerana tahu arwah tinggal sendirian selepas bercerai dengan isterinya.

"Selalunya setiap pagi arwah akan keluar dari rumah untuk ke tempat kerjanya," katanya.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, mangsa dipercayai sudah meninggal dunia antara dua hingga tiga hari lalu dan siasatan mendapati tiada unsur jenayah.

Katanya, mayat mangsa yang turut menghidap penyakit kencing manis dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim ( HSAH) untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Disiarkan pada: July 17, 2017 @ 9:51pm
d