mutakhir

Perjalanan rentas zaman

Oleh myMetro

Kuala Lumpur: Akhbar bahasa Melayu, Berita Harian (BH) meraikan ulang tahun ke-60 bersama 500 kakitangan dan bekas kakitangan akhbar itu, malam tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (M) Berhad Datuk Abdul Jalil Hamid berkata, BH sejak edisi pertamanya pada 1 Julai 1957 menongkah arus zaman yang panjang, berkeluk dan berliku seiring sejarah moden Malaysia bermula dua bulan sebelum mantan Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra melafazkan kata keramat Merdeka.

“Perjalanan BH membelah zaman dengan pelbagai pembaharuan menuntut kebijaksanaan dan keberanian luar biasa bukan saja daripada pengarang kumpulan, pengarang, penyunting, wartawan dan jurugambar.

“Pembaharuan yang dibawa membawa semangat dan jati diri serta DNA yang sama iaitu mengambil pendekatan yang sederhana,” katanya dalam ucapan di Balai Berita NSTP.

Jalil berkata, BH dalam enam dekad bermakna mencatat seribu satu sejarah, antaranya menempa kejayaan dalam bidang pendidikan, sastera dan hiburan.

“Sumbangan dan peranan BH tidak hanya diperakukan pada peringkat tanah air berdasarkan rekod kemenangan Anugerah Kajai sebanyak sembilan kali tetapi menjadikan BH antara media cetak paling banyak menerima anugerah berkenaan sejak 1992.

“Dengan cabaran media baru Facebook, Berita Harian Online bukan saja berjaya menarik 4.6 juta pengikut di Facebook, malah di Twitter 1.1 juta dan Instagram iaitu 306,000 pengikut yang setia membaca maklumat disampaikan akhbar ini,” katanya.

Katanya, pihaknya yakin cabaran digital tidak akan berhenti, malah sentiasa berevolusi dengan pembaharuan yang sentiasa menguji kebijaksanaan dan keberanian di samping dengan cabaran sedia ada bagi menarik pembaca.

Berita Harian memulakan edisi pertamanya pada 1 Julai 1957 menggunakan kandungan yang diterjemah daripada akhbar New Straits Times.

Hari ini BH menggunakan moto Merentas Generasi serta slogan Satu Untuk Semua yang turut membawa maksud untuk seisi keluarga serta masyarakat pada semua peringkat umur, jantina dan kaum.

Disiarkan pada: July 18, 2017 @ 5:16am
d