mutakhir

Lonjak ke Tahap 2

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

Putrajaya: Bermula Januari hingga Jun lalu, sebanyak 254 kes pemerdagangan orang dibawa ke mahkamah untuk pendakwaan dengan 67 daripadanya berjaya disabitkan kesalahan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, daripada jumlah keseluruhan sabitan, sebanyak 43 kes membabitkan kesalahan pemerdagangan orang manakala, 24 kes lagi kesalahan lain berunsur pemerdagangan orang.

Menurutnya, pada masa sama, bagi tempoh Januari hingga Mei lalu, sebanyak 363 kes jumlah tangkapan direkodkan.

Dalam pada itu, beliau berkata, Malaysia sebelum ini pernah berada di kedudukan Tahap 2 (Pemerhatian) selama lapan kali kerana tidak menunjukkan peningkatan ketara dalam usaha membanteras jenayah pemerdagangan orang berbanding tahun sebelumnya.

“Bagaimanapun, kedudukan negara melonjak ke Tahap 2 pada tahun ini kerana negara sudah melaksanakan usaha yang signifikan untuk mematuhi Konvensyen Jenayah Rentas Sempadan PBB (UNTOC) dan Akta Perlindungan Pemerdagangan dan Keganasan (TVPA) 2000.

“Ini adalah komitmen tinggi dan usaha berterusan ditunjukkan ahli Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MPO) dalam peningkatan siasatan, pendakwaan dan sabitan kes pemerdagangan orang termasuk beberapa penambahbiakan dalam aspek perlindungan mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas beliau mempengerusikan Mesyuarat HLC MPO Kali Kedua di Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya.

Agenda mesyuarat semalam menumpukan pencapaian negara berkaitan Laporan Tahunan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) mengenai pemerdagangan orang serta langkah penambahbaikan bagi penilaian tahun akan datang.

Selepas mesyuarat berkenaan, Ahmad Zahid turut menyampaikan dana berjumlah RM1.38 juta kepada Pusat Kebajikan Good Shepherd dan Tenaganita Sdn Bhd sebagai projek perintis pengurusan mangsa pemerdagangan orang.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan melihat pembabitan badan bukan kerajaan (NGO) dalam pengurusan mangsa pemerdagangan orang sebagai satu perkembangan positif dan perlu diteruskan bagi memastikan kebajikan mangsa dapat dipelihara dan tanggungjawab dikongsi bersama.

Katanya, ia selaras dengan komitmen negara bagi melaksanakan pindaan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang berkuat kuasa sepenuhnya mulai November 2015.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata, mesyuarat yang berlangsung semalam turut mengambil maklum hari kesedaran jenayah pemerdagangan orang (Hari Menentang Perdagangan Orang Sedunia) yang akan diadakan pada 30 Julai setiap tahun seperti terkandung dalam resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2013.

Disiarkan pada: July 18, 2017 @ 5:31am
d