mutakhir

Kembara darat ke Tanah Suci

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Enam belas rakyat Malaysia memulakan perjalanan darat sejauh 16,000 kilometer mulai esok dari ibu negara ke Makkah bagi menunaikan ibadat haji melalui program Kembara Inspirasi Haji 2017.

Dijangka mengambil masa 35 hari sebelum tiba ke Tanah Suci, para peserta program dianjurkan Pertubuhan Kembara Amal (#PeKA) itu turut menyampaikan sumbangan kepada pihak yang dikenal pasti di beberapa negara yang dilalui mereka.

Pengerusi #PeKA Khir Ariffin berkata, kembara menggunakan empat kenderaan pacuan empat roda itu melalui Thailand, Laos, China, Kyrgyzstan, Uzbekistan, Turkmenistan, Iran, Emiriah Arab Bersatu (UAE), sebelum tiba di Arab Saudi.

“Sumbangan kami terima daripada orang ramai akan digunakan untuk membeli barang di negara yang disenaraikan.

“Destinasi pertama kami Pulau Pinang untuk menyampaikan bantuan di madrasah tahfiz, esok sebelum melintasi sempadan Malaysia-Thailand dan bermalam di Hatyai untuk malam pertama. Kami jangkakan ada 30 hentian sepanjang perjalanan,” katanya pada sidang media selepas majlis pelepasan kembara itu di Wisma Bernama, di sini, semalam.

Pelepasan peserta terdiri daripada 14 lelaki dan dua wanita disempurnakan Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Zulkefli Salleh. Turut serta dalam kembara itu Ketua Editor Tugasan Bernama News Channel (BNC) Abdul Rahman Ahmad dan jurukamera Ahmad Shahuri Mat Jaan.

Khir berkata, pihaknya mengalu-alukan tajaan daripada mana-mana pihak yang mahu menyumbang bagi menjayakan misi mereka, menerusi akaun bank Maybank 562405610940.

Disiarkan pada: July 18, 2017 @ 5:47am
d