mutakhir

Tiga jaga 'jinak' petinju MMA

Oleh Mohd Hasbi Sidek

Subang Jaya: Satu video yang memaparkan pergaduhan antara petinju seni mempertahankan diri campuran (MMA) dengan tiga pengawal keselamatan tular di laman sosial sejak petang semalam.

Kejadian dipercayai berlaku di sebuah apartmen di USJ1, di sini, kira-kira jam 5 petang semalam selepas petinju berkenaan dikatakan cuba memasuki kawasan kediaman berkenaan, namun tidak dibenarkan tiga pengawal keselamatan di apartmen itu.

Dalam rakaman berdurasi 29 saat itu, seorang lelaki berbadan tegap dilihat dalam keadaan bersedia untuk bertinju dengan seorang pengawal keselamatan warga Nepal.

Pada masa sama terdapat seorang lelaki berbaju hitam cuba menghalang mereka daripada bergaduh, namun secara tiba-tiba petinju berkenaan menendang salah seorang pengawal berkenaan.

Pergelutan mula berlaku apabila mereka terjatuh sebelum dua lagi pengawal keselamatan masuk campur dengan memukul petinju berkenaan.

Seorang daripada pengawal keselamatan dilihat memakai seragam dan memegang cota memukul petinju berkenaan beberapa kali.

Manakala dua lagi pengawal keselamatan cuba mengunci pergerakan lelaki berkenaan yang cuba melepaskan diri.

Sementara itu, seorang lagi pengawal keselamatan yang berdiri melihat kejadian itu tanpa terbabit dalam pergelutan berkenaan.

Disiarkan pada: July 18, 2017 @ 6:14am
d