mutakhir

Nasib berubah sekelip mata

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

Rompin: Luluh hati seorang isteri apabila melihat suaminya yang dulunya ceria, boleh bergurau senda dan sihat, tiba-tiba menjadi lumpuh serta hanya terbaring di atas katil sejak empat bulan lalu.

Lebih memilukan Kuzilawati Sharuddin, 37, apabila suaminya, Ahmad Faizal Halib, 39, kini tidak mampu bercakap, malah sebahagian tempurung kepalanya terpaksa dikeluarkan akibat pendarahan dalaman yang dialaminya sehingga menyebabkan kepalanya berlekuk.

Katanya, kejadian yang menimpa suaminya berlaku dalam tempoh yang singkat, bermula dengan pengsan dan mengalami kekejangan otot di rumahnya di Segamat, Johor pada Mac lalu, kemudian doktor mengesan berlakunya pendarahan dalam otak serta perlu menjalani pembedahan.

“Suami pada mulanya menerima rawatan di Hospital Segamat dan doktor mengesan berlaku pendarahan di dalam otak sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (Johor Bahru) untuk pembedahan bagi mengeluarkan darah berkenaan.

“Selepas pembedahan, suami terus lumpuh dan tidak mampu bercakap. Kepalanya juga berlekuk kerana doktor terpaksa mengeluarkan tempurung kepalanya ketika pembedahan itu,” katanya.

Kuzilawati yang juga seorang suri rumah berkata, dia seakan hilang punca kerana dia hanya bergantung sepenuhnya kepada suaminya yang sebelum ini bekerja di sebuah kilang di Segamat.

Keadaan itu memaksa dia bersama dua anak mereka, Nur Syafiqah, 16, dan Sharkawi, 11, berpindah ke rumah mentuanya di FELDA Keratong, dekat Muadzam Shah, di sini, kerana tidak mampu menguruskan suaminya seorang diri.

“Suami memerlukan penjagaan yang rapi kerana dia tidak mampu untuk bangun, apatah lagi untuk menguruskan diri sendiri. Jadi, dia memang bergantung sepenuhnya kepada saya.

“Hati isteri mana yang tidak sedih melihat keadaan suami yang berubah hampir seratus peratus, sebelum ini dia sihat namun dalam sekelip mata saja menjadi sebegini,” katanya.

Menurutnya, pendarahan dalam otak yang dialami suaminya itu dipercayai kesan daripada kemalangan yang dihadapinya ketika remaja dan sebelum, ini Ahmad Faizal sering mengadu sakit kepala.

Katanya, suaminya hanya menganggap ia sekadar sakit biasa kerana tidak pernah pengsan atau mengalami kekejangan otot seperti sebelum ini.

Dia kini buntu untuk meneruskan kehidupannya dan mencari sumber pendapatan bagi menyara keluarganya berikutan masih belum mendapat kerja yang sesuai.

Katanya, anak keduanya adalah orang kurang upaya (OKU) kerana mengalami masalah saraf dari pinggang ke bawah dan memperoleh bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan.

“Adakalanya saya terpaksa bergantung kepada wang itu untuk membeli keperluan kami, sesekali ada juga ahli keluarga lain menghulurkan bantuan.

“Saya mahu keluar mencari kerja, sampai bila saya mahu terus mengharapkan belas ihsan mertua namun sehingga kini masih gagal mencari kerja yang sesuai,” katanya yang memaklumkan segala keperluan suaminya disumbangkan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Justeru, orang ramai yang mahu menghulurkan bantuan atau mempunyai tawaran kerja yang bersesuaian boleh menghubungi Kuzilawati di talian 010-4171025.

Disiarkan pada: July 18, 2017 @ 6:34am
d