mutakhir

Kereta memotong tak lepas katanya

Oleh Nurul Fatihah Sulaini

LELAKI maut selepas motosikal besar dinaikinya bertembung dengan kereta di Kilometer 53, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu di Kampung Chalok Barat, Permaisuri, malam tadi.

Allahyarham Shaari Sulaiman, 50, menunggang BMW R1200RT meninggal dunia di tempat kejadian dalam kemalangan kira-kira 8 malam.

Ketua Polis Daerah Setiu Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris berkata, siasatan awal mendapati pemandu Proton Exora datang dari arah Kuala Terengganu ke Kota Bharu dipercayai memotong Perodua Kancil di garisan berkembar lalu memasuki laluan bertentangan dan merempuh motosikal itu.

"Kejadian itu menyebabkan mangsa yang berasal dari Kemaman dan dari arah bertentangan tercampak di atas jalan raya.

"Akibat dari perlanggaran itu, motosikal mangsa terseret ke bahu jalan sebelah kanan dan penunggang motosikal maut di tempat kejadian," katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Setiu untuk tindakan lanjut.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Disiarkan pada: July 18, 2017 @ 10:31am
d