mutakhir

Banteras perbuatan sabotaj di pintu masuk negara

Oleh Siti A'isyah Sukaimi

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) memperkenalkan Sistem Kawalan Imigresen Nasional (SKIN) yang akan diintegrasikan dengan myIMMs sekali gus membanteras sebarang perbuatan sabotaj di pintu masuk negara.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sistem berkenaan akan dilaksanakan sepenuhnya pada 2021 dan ia diterajui oleh syarikat teknologi tempatan, Prestariang Berhad bagi menerajui transformasi sistem imigresen menyeluruh dan bersepadu.

Menurutnya, SKIN juga dijangka akan memberi pendapatan tambahan kira-kira RM800 juta setahun.

"Sistem ini mengambil masa empat tahun untuk dipersiapkan kerana kerajaan mahu memastikan ia dibuat secara terperinci sekali gus sifar masalah.

"Justeru, apabila pelaksanaannya kelak, sistem sedia ada akan disatukan dan dimodenkan serta ditambah baik dan kita akan memastikan tidak ada sebarang kekangan dan unsur sabotaj," katanya pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Konsesi dengan Prestariang Berhad bagi menerajui transformasi SKIN di Cyberjaya, hari ini.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid menyaksikan perjanjian ditandatangani oleh Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Alwi Ibrahim manakala, Prestariang Berhad diwakili Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Dr Abu Hasan Ismail.

Disiarkan pada: July 18, 2017 @ 6:29pm
d