mutakhir

Mesti pasang

Oleh Ainul Durmahyanty Durming

SEMUA pengusaha bot pelancongan yang beroperasi di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) perlu memasang alat Sistem Pengesanan Automatik (AIS) di dalam bot mereka.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) Datuk Hazani Ghazali berkata, langkah ini bagi mempertingkatkan lagi tahap keselamatan pelancong yang menggunakan perkhidmatan mereka ketika melakukan perjalanan dari jeti pelancongan ke destinasi pulau peranginan.

"ESSCOM akan memberi tempoh selama sebulan yang bermula esok... mana-mana pengusaha bot pelancong yang ingkar akan dikenakan tindakan keras termasuk membatalkan lesen perniagaan mereka," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, ESSCOM memberikan tempoh yang secukupnya kepada semua pengusaha bot-bot pelancongan untuk memasang peralatan berkenaan demi memastikan keselamatan ketika berada di laut.

"Dengan adanya alat AIS, semua agensi keselamatan termasuk ESSCOM akan dapat memantau pergerakan dan tahap keselamatan bot mereka ketika berada di perairan terutama kawasan yang terdedah ancaman penjenayah rentas sempadan.

"Selain itu, pasukan keselamatan akan dapat memantau dan berhubung dengan semua kru bot pada setiap masa terutama ketika berada di lokasi yang berisiko," katanya.

Disiarkan pada: July 18, 2017 @ 6:39pm
d