mutakhir

1,600 bayi dalam 6 tahun

Oleh Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Pusat Perubatan Pakar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IMSC) Indera Mahkota, di sini, ‘melahirkan’ 1,600 bayi menggunakan kaedah persenyawaan in-vitro (IVF) dalam tempoh enam tahun penubuhannya.

Pusat perubatan terunggul di Pantai Timur berlandaskan patuh syariah dan mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu mempunyai dua pakar perubatan dalam bidang itu.

Pengerusi IMSC Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, masih ramai masyarakat tidak menyedari kewujudan pusat rawatan kesuburan yang setiap tahun berjaya membantu pasangan mendapatkan cahaya mata.

Menurutnya, masyarakat perlu peka dengan kemudahan diberikan IMSC dalam usaha membantu pasangan mendapat zuriat selepas sekian lama berkahwin.

Katanya, perkhidmatan IVF ditawarkan bermula pada 2004 namun selepas Pusat Tabung Uji dibuka pada 2009 saban tahun bilangan individu yang menjalani rawatan sentiasa meningkat.

“Individu mendapatkan khidmat nasihatdi IMSC tidak hanya mereka dari Pantai Timur dan seluruh Malaysia, malah luar negara,” katanya pada Hari Terbuka dan Majlis Sambutan Hari Raya IMSC di sini, kelmarin.

Disiarkan pada: July 19, 2017 @ 5:26am
d