mutakhir

Fakulti Perubatan UiTM Teluk Intan dirasmi

Oleh myMetro

Teluk Intan: Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan Fakulti Perubatan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Teluk Intan, di sini, semalam.

Kampus itu dibina di atas tanah seluas empat hektar yang siap pembinaannya pada Oktober 2010 dan dibuka khusus untuk pelajar Tahun Tiga Fakulti Perubatan UiTM yang ditempatkan untuk tugasan kesihatan luar bandar dan kesihatan awam bermula November 2010.

Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UiTM bermula 1 Disember 2002 yang menawarkan lima kursus pembelajaran sebelum dipisahkan kepada Fakulti Perubatan dan Fakulti Sains Kesihatan pada 15 Mac 2004.

Pengambilannya bermula dengan 20 pelajar pertama fakulti dan kini pengambilan ditingkatkan kepada 230 pelajar mengikuti pengajian perubatan bagi setiap pengambilan sehingga menjadikannya universiti awam membuat pengambilan teramai pelajar perubatan di negara ini.

Kewujudan kampus perubatan ini diharap akan dapat memberikan sokongan yang mencukupi untuk pengambilan pelajar yang kini mencecah 1,000 pelajar pada satu-satu masa.

Turut hadir, Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Dihilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris.

Hadir sama, Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong dan Naib Canselor UiTM Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said.

Sementara itu, Idris dalam ucapannya berkata, kampus yang dibina itu menjadi bukti komitmen kerajaan memacu aspirasi pendidikan negara supaya terus mengorak langkah ke hadapan setanding di peringkat antarabangsa.

“Oleh itu, kewujudan Fakulti Perubatan Kampus Teluk Intan menepati aspirasi untuk melahirkan pelajar perubatan berstatus antarabangsa yang mampu memenuhi keperluan perubatan di dalam mahupun luar negara.

“UiTM Kampus Teluk Intan dibina dengan tujuan menjadikannya sebagai Pusat Kaji Selidik Komuniti yang memberikan penekanan terhadap kesihatan luar bandar,” katanya.

Disiarkan pada: July 19, 2017 @ 5:33am
d