mutakhir

Aset ekonomi

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: “Setiap anak peneroka FELDA boleh menjadi insan yang menyumbang kepada kuasa besar ekonomi,” kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Justeru, katanya, generasi kedua dan ketiga FELDA perlu mempunyai semangat penerokaan atau jati diri yang tinggi supaya mereka tidak mudah mengaku kalah apabila berdepan apa juga cabaran serta dugaan.

“Semangat penerokaan jika diadun dengan minda terbuka, ilmu dan kemahiran serta nilai serta akhlak yang baik, ia menjadi formula untuk mencapai kejayaan lebih besar dalam menjadikan FELDA sebuah kuasa besar ekonomi,” katanya ketika berucap pada program Salam Perantauan Warga FELDA 2017 di sini, semalam.

Beliau turut menegaskan tidak mahu generasi FELDA terikat kepada kepompong mentaliti kampung, sebaliknya mahu mereka memiliki minda transformasi.

Dalam pada itu, Najib berkata, konsep tanah rancangan FELDA di seluruh negara dilihat berjaya mewujudkan mobiliti sosial terutama dalam kalangan generasi kedua dan ketiga FELDA.

Menurutnya, mobiliti sosial berkenaan menjadikan FELDA unik kerana ia mampu menjana perubahan kepada generasi pertama FELDA dan seterusnya.

“Ia jelas menunjukkan mobiliti sosial adalah kesan berpanjangan kenapa FELDA ditubuhkan dalam negara.

“Mudah-mudahan limpahan seperti ini bukan saja membentuk transformasi fizikal, sebaliknya transformasi minda kepada generasi FELDA secara keseluruhannya,” katanya.

Katanya, kesan kewujudan Felda kini menjangkau jauh daripada tujuan asal ia ditubuhkan sekitar 57 tahun dulu.

Najib berkata, penubuhan FELDA pada asalnya mahu mencari penyelesaian kepada masalah kemiskinan melalui reformasi tanah, namun setelah sekian lama, konsep itu bukan saja menyelesaikan masalah kemiskinan tetapi membawa kepada kesan limpahan sehingga wujudnya 317 tanah rancangan.

Pada program sama, Najib turut melancarkan buku Kisah Inspirasi Tokoh Profesional Generasi Felda: Bersama Merealisasi Transformasi yang memaparkan kisah tokoh dan anak FELDA yang berjaya dalam bidang masing-masing.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan peruntukan RM200,000 untuk program kajian pemikiran kemanusiaan (psycho profiling) kepada generasi FELDA di seluruh negara.

“Kajian pemikiran berkenaan menjadikan ahli keluarga peneroka FELDA daripada generasi pertama sehingga ketiga sebagai sasaran. Ia dijangka mengambil masa enam bulan,” katanya.

Disiarkan pada: July 19, 2017 @ 5:40am
d