mutakhir

Koleksi agung [METROTV]

Oleh Nabihah Kamal

Shah Alam: Rindu kepada Nabi Muhammad SAW sehingga mengalirkan air mata. Itu antara kesan mendalam pengunjung di Pameran Artifak Asli Nabi Muhammad SAW dan Para Sahabat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini.

Pengurus Projek Dragon Heart Sdn Berhad Razali Bachik berkata, sebanyak 28 barangan peninggalan Baginda dan sahabat dipamerkan selama sebulan bermula 10 Julai hingga 9 Ogos depan.

“Barangan milik Nabi Muhammad SAW dibawa dari muzium pelbagai negara seperti Arab Saudi, Yaman, Turki, India dan Jordan.

“Ada sebahagiannya adalah koleksi peribadi yang kami bawa dari Brunei,” katanya.

Menurutnya, antara yang menjadi tarikan ialah capal, janggut, rambut dan darah bekam milik Rasulullah.

“Ramai yang terpaku melihat barangan itu. Ada yang menangis kerana rindukan Baginda.

“Selain itu, kami ada pamerkan kiswah dalam dan kiswah luar Kaabah diperbuat daripada benang emas yang keseluruhan beratnya 92 kilogram,” katanya.

Menurut Razali, pameran ini hasil kerjasama kerajaan negeri, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Lembaga Muzium Selangor.

“Bayaran yang dikenakan bagi dewasa ialah RM20 manakala kanak-kanak enam tahun ke atas, pelajar, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas berusia 60 tahun ke atas dikenakan bayaran RM10 saja,” katanya.

Sementara itu, Imam Masjid Negeri Mohd Luqman Hakkim Rizuan berkata, pameran ini bukan saja dibuka kepada orang Islam, malah bukan Islam juga dialu-alukan untuk datang bermula jam 9 pagi hingga 10 malam.

“Pameran ini memberi manfaat kepada umat Islam untuk lebih menghayati dan mencintai perjuangan Rasulullah dan sahabat Baginda bagi memperjuangkan dakwah Islam.

“Orang bukan Islam juga boleh hadir untuk mengetahui sejarah tamadun Islam,” katanya.

Disiarkan pada: July 19, 2017 @ 6:54am
d