mutakhir

Contohi kiosk PTPTN [METROTV]

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa dan Nabihah Kamal

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menyarankan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Insolvensi Malaysia mewujudkan kiosk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi memudahkan urusan orang awam yang disekat keluar dari Malaysia.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sudah mewujudkan kiosk mereka bagi memudahkan peminjamnya yang mempunyai tunggakan dan disekat dari keluar negara untuk menjelaskan bayaran mereka selain memeriksa status senarai hitam masing-masing.

"JIM hanya urus tadbir 177 pintu masuk keluar negara dan bukan kami yang membuat sekatan berkenaan.

"Jadi, usaha PTPTN wajar dicontohi oleh agensi lain yang berkaitan bagi memudahkan orang awam yang disekat ini, " katanya pada sidang media sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri JIM Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mustafar berkata, 3,874 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) daripada 12,279 individu yang diperiksa sudah ditahan atas pelbagai kesalahan dalam Operasi Mega e-Kad di seluruh negara yang berakhir 30 Jun lalu.

Menurutnya, turut ditahan ialah 84 majikan dan 10 daripadanya sudah menjalani proses perundangan.

"Jumlah tangkapan tertinggi dalam operasi ini membabitkan warga Bangladesh iaitu 1,326 individu, diikuti Indonesia (994), Myanmar (350), Vietnam (178) , Thailand (161), Filipina (102) dan bakinya adalah dari negara lain.

"Susulan itu, JIM sudah berbincang dengan pihak kedutaan beberapa negara yang terbabit untuk urusan pengusiran serta kos pengangkutan yang harus ditanggung untuk membawa pulang rakyat mereka," katanya.

Disiarkan pada: July 19, 2017 @ 1:52pm
d