mutakhir

Geng Budin tumpas

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

POLIS melumpuhkan kumpulan samun berkumpulan yang digelar Geng Budin dengan menahan empat lelaki di Johor Bahru, semalam.

Suspek berusia antara 21 hingga 32 tahun itu ditahan dalam beberapa siri serbuan antara 2 petang hingga 8 malam.

Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, tangkapan itu membawa kepada penemuan sepucuk pistol semi auto jenis CZ dan satu kelopak bersama tiga butir peluru hidup 9mm di Pasir Gudang, Johor.

"Hasil siasatan awal, kumpulan ini mengaku melakukan enam samun ke atas premis perniagaan iaitu empat di Seri Alam dan dua lagi di Johor Bahru Selatan.

"Semakan yang dibuat mendapati suspek mempunyai kira-kira 25 rekod jenayah lampau, malah dua daripada mereka mempunyai rekod dikehendaki polis bagi kes dadah di negeri ini," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, hari ini.

Menurutnya, siasatan mendapati mereka pernah melepaskan tembakan, namun bukan ke arah mangsa.

Katanya, hasil ujian saringan awal air kencing terhadap suspek mendapati positif dadah.

"Kita percaya keberanian suspek melakukan samun ini adalah bergantung juga kepada pengaruh dadah.

"Mereka mensasarkan hotel bajet dan premis perniagaan 24 jam," katanya.

Wan Ahmad Najmuddin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960, Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Jenayah (POCA).

Disiarkan pada: July 19, 2017 @ 4:00pm
d