mutakhir

Pantang nampak objek tengah jalan [METROTV]

Oleh Asrizal Aris

 

“Saya pantang nampak objek di tengah jalan, saya akan berhenti untuk alihkan,” itu kata Abdul Rahman Noor Mohamad, 56, ahli kelab motosikal Northern Versys Owners’ Group (NVOG).

Abdul Rahman adalah individu yang bergadai nyawa mengalihkan kepingan tayar lori dari tengah lebuh raya dan videonya berbuat demikian menjadi tular di laman sosial sejak Isnin lalu.

Abdul Rahman berkata, perbuatan itu bukan kali pertama dia melakukannya, malah hampir setiap hari dia akan mengalihkan objek yang berada di tengah jalan terutamanya serpihan tayar, besi, batu dan bongkah kayu.

"Saya memang pantang nampak objek di tengah jalan raya, saya mesti berhenti untuk kutip walaupun tergesa-gesa untuk ke mana-mana kerana keselamatan serta nyawa orang lebih penting.

"Saya ada pengalaman sendiri menjadikan sikap saya begitu yang mana rakan saya kemalangan di hadapan mata saya apabila serpihan tayar celup sebuah lori tertanggal lalu dirempuh rakan saya sebelum dia bergolek jatuh.

"Kejadian itu membuatkan saya sentiasa berhati-hati dan tidak boleh tengok ada objek di jalan raya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya yang berasal dari Pulau Pinang, video yang menjadi tular di laman sosial itu dirakam oleh isterinya, Zalina Shuib, 46, sebagai simpanan dan tidak tahu bagaimana video berkenaan boleh tersebar.

"Video itu dimuat naik di Facebook oleh rakan baik saya tetapi saya tidak tahu bagaimana dia boleh memperolehnya. Mungkin ia dikongsi oleh isteri saya yang juga ahli kelab motosikal melalui aplikasi WhatsApp atau Facebook.

"Disebabkan video itu saya menerima panggilan daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk dianugerahkan penghargaan," katanya yang menunggang motosikal Yamaha Super Tenere.

Menurutnya, ketika video itu dirakam, dia dan isteri serta beberapa ahli kelab dalam perjalanan konvoi dari Pulau Pinang menuju ke Batu Caves untuk menghadiri majlis pelancaran motosikal MV Agusta.

"Sebenarnya kami ramai, tetapi sudah menjadi kebiasaan apabila konvoi saya akan berada di paling belakang. Video itu dirakam di lebuh raya berdekatan Hentian Rawang, ketika itu hanya saya dan isteri.

"Walaupun isteri saya begitu risaukan saya kerana kenderaan di lebuh raya ketika itu sangat laju, saya tetap teruskan meskipun ada perasaan takut," katanya yang sudah enam tahun berkecimpung dengan dunia permotoran berkuasa tinggi.

Menurut Abdul Rahman, dia berharap kerajaan mengkaji semula penggunaan tayar celup lori yang tidak berkualiti kerana kerap tertanggal di tengah jalan raya lalu memberi risiko tinggi terhadap keselamatan pengguna.

Selain itu, Abdul Rahman menyarankan pihak lebuh raya seperti PLUS lebih peka dengan keadaan jalan sekali gus mengelakkan disaman oleh keluarga mangsa kemalangan maut seperti yang berlaku baru-baru ini.

Video Abdul Rahman mengalihkan serpihan tayar lori di tengah lebuh raya yang berdurasi 41 saat itu, tular sejak Isnin dan menerima lebih 50,000 tontonan di laman sosial Facebook.

 

Disiarkan pada: July 19, 2017 @ 5:27pm
d