mutakhir

Pesalah yang disebat perlu menutup aurat

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

PESALAH syariah wanita akan dikenakan hukuman sebat sama seperti pesalah lelaki dan kedua-duanya perlu menutup aurat.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, pesalah syariah wanita juga akan disebat oleh tukang sebat lelaki yang dilantik.

Katanya, tiada masalah (tukang sebat lelaki) kerana pesalah terbabit berpakaian menutup aurat dan disebat di atas pakaian serta tidak bersentuhan antara satu sama lain.

"Dalam Islam, pesalah syariah mesti berpakaian lengkap dan tidak seperti kesalahan sivil (disebat tanpa pakaian) dan hanya di bahagian belakang badan kecuali kepala dan leher. Ada beza antara sebatan syariah dan sivil.

"Pesalah yang dikenakan hukuman juga mesti berumur 18 tahun ke atas dan mereka yang di bawah 18 tahun tidak akan dikenakan sebatan.

"Warga emas yang melakukan kesalahan juga akan menerima hukuman, namun atas nasihat doktor yang akan membuat pemeriksaan terlebih dulu sama ada pesalah mampu atau tidak bergantung kepada kesihatan," katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata, hukuman yang dimaksudkan di tempat terbuka itu adalah lokasi yang akan ditentukan oleh pihak mahkamah syariah tanpa campur tangan kerajaan negeri.

Menurutnya, hanya mahkamah yang akan menentukan lokasi sebat termasuk di penjara.

Pada 12 Julai lalu, persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan meluluskan 35 pindaan dalam Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan 2017) termasuk hukuman sebat di hadapan khalayak.

Antara kesalahan yang boleh dihukum sebat ialah berzina, qazaf (membuat tuduhan seseorang itu melakukan zina yang tuduhan itu tidak dapat dibuktikan dengan empat saksi), syurb (meminum arak) dan liwat.

Disiarkan pada: July 19, 2017 @ 5:38pm
d