mutakhir

Perkasa Mahkamah Syariah

Oleh myMetro

Kota Bharu: Bagi memperkasakan bidang kuasa Mahkamah Syariah, sebuah Jawatankuasa Khas Kebangsaan akan ditubuhkan tidak lama lagi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, perkara itu akan dibawa ke Kabinet untuk dibincangkan.

Katanya, penubuhannya akan diselia oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan diletakkan di bawah bidang kuasa Majlis Agama Islam di semua negeri.

“Jawatankuasa ini bakal dianggotai semua pihak yang terbabit termasuk wakil pemimpin parti politik (agama Islam).

“Usaha ini penting bagi menghormati dan memartabatkan agama Islam di negara ini supaya terus terjaga tanpa menjejaskan hak dan kedudukan masyarakat bukan Islam,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob di Kompleks Kota Darulnaim, di sini, semalam.

Terdahulu, beliau menghadiri Mesyuarat Kejohanan Sukan Sekolah-sekolah Menengah Agama Malaysia (KESSUMA) Peringkat Kebangsaan dan menyerahkan bendera serta piala kepada kerajaan negeri Kelantan yang diwakili Ahmad.

Disiarkan pada: July 20, 2017 @ 6:25am
d