mutakhir

Tubuh institusi Genovasi

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Malaysia akan menjadi hab utama dalam pemikiran reka bentuk (DT) di rantau ASEAN menerusi penubuhan sebuah kolej universiti yang dikenali sebagai Kolej Universiti Genovasi (GUC).

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mengumumkan penubuhan institusi pemikiran reka bentuk Malaysia (Genovasi) berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sudah diberi kepercayaan untuk menubuhkan GUC.

Katanya, GUC berperanan melahirkan generasi terlatih dalam pemikiran reka bentuk sekali gus memenuhi persediaan negara ke arah Revolusi Industri Keempat atau Industri 4.0.

“Penubuhan kolej berkenaan dijangka membantu meletakkan Malaysia sebagai hab utama DT di rantau ini termasuk membantu Genovasi memperluaskan DT di ASEAN,” katanya ketika berucap pada majlis pengumuman Program Genosis untuk sekolah menengah sejurus mempengerusikan mesyuarat Majlis Tadbir Urus Agensi Inovasi Malaysia (AIM), semalam.

Genovasi adalah satu-satunya sekolah pemikiran reka bentuk di Malaysia yang dipelopori Unit Inovasi Khas (UNIK) dan AIM.

Dalam pada itu, Najib berkata, program Genosis akan berperanan sebagai badan akreditasi bebas yang memiliki jaminan kualiti standard dan praktis peringkat antarabangsa bagi sekolah menengah kerajaan.

Katanya, program dengan kerjasama AIM, Yayasan Genovasi dan Kementerian Pendidikan itu bertujuan meningkatkan kualiti penyampaian dalam kelas di sekolah dan akan berfungsi sebagai rujukan negara bagi penganugerahan kecemerlangan pendidikan selain memastikan piawaian kualiti di sekolah kerajaan.

“Program itu akan memastikan pengajaran dan pembelajaran berkualiti tinggi untuk standard kebangsaan dan antarabangsa sekali gus membantu melahirkan individu yang boleh menyesuaikan diri, proaktif, berdikari, saling bergantung dan pada masa sama memiliki sikap kreatif, bekerjasama dan berfikiran kritikal.

“Program itu akan dimulakan di 10 sekolah menengah bermula tahun depan dan akan ditawarkan kepada sekolah menengah lain pada 2021,” katanya.

Pada majlis sama, Najib turut berkesempatan menyampaikan sijil pencapaian bagi status sekolah bertaraf dunia atau IB World School MYP IBMiddle Years Programme International Baccalaureate kepada sembilan sekolah menengah.

Sekolah berkenaan termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Tapang, Samarahan, Sarawak, Kolej Melayu Kuala Kangsar, Perak, SMK Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah, SMK Putrajaya Presint 9(2), Putrajaya, SMK Pantai, Labuan, Kolej Tunku Kurshiah, Negeri Sembilan, SMK Seri Tualang, Temerloh, Pahang, Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra, Kota Bharu, Kelantan dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malek, Kuala Terengganu, Terengganu.

Disiarkan pada: July 20, 2017 @ 6:38am
d