mutakhir

Hulur RM26,500 bantu etnik Rohingya

Oleh myMetro

Putrajaya: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menyerahkan sumbangan RM26,500 kepada Tabung Kemanusiaan Rohingya Media Prima, di sini, semalam, sebagai tanda keprihatinan terhadap penderitaan etnik terbabit.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang merangkap Ketua Biro Majlis Sukan dan Kebudayaan (MASKAB) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata, kutipan sumbangan itu adalah anjuran khas MASKAB bagi membantu meringankan beban etnik Rohingya.

Katanya, dana itu disumbangkan anggota dan pegawai yang berkhidmat bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat di semua negeri serta sumbangan awam.

“Kami buat kutipan serta wujudkan tabung di kaunter setiap cawangan jabatan bomba dan penyelamat selain ketika mengadakan program.

“Kutipan ini dilaksanakan selama empat bulan yang berakhir Jun lalu. Jumlah itu melebihi sasaran kami iaitu RM15,000.

“Kami harap sumbangan ini dapat membantu meringankan beban etnik Rohingya,” katanya pada Majlis Ramah Mesra Sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Jabatan Bomba dan Penyelamat Putrajaya.

Sumbangan disampaikan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar kepada wakil Media Prima Berhad iaitu Ketua Biro Berita Harian Putrajaya Magendran Rajagopal.

Orang ramai boleh memberi sumbangan melalui akaun 5642-7652-2630 (Maybank), Maybank2u.com, pindahan wang ATM, talian perbankan Kawanku, deposit tunai dan deposit cek di mesin Maybank serta kaunter Maybank.

Sumbangan melalui cek atas nama Tabung Kemanusiaan Rohingya Media Prima boleh dibuat di Jabatan Komunikasi Korporat Media Prima di Tingkat 1, Anjung Riong, 31 Balai Berita, Jalan Riong 59100, Bangsar, Kuala Lumpur.

Disiarkan pada: July 20, 2017 @ 6:44am
d