mutakhir

Tak sedap hati berkunjung ke rumah mentua

Oleh Zaid Salim

Marang: Perasaan tidak sedap hati seorang isteri terhadap kediaman yang ditinggalkan mereka selepas berkunjung ke rumah mentua di Kampung Paya Resak, di sini, berakhir dengan peristiwa hitam apabila rumah mereka di Kampung Rhu Muda, di sini, terbakar, awal pagi semalam.

Najwa Izzati Sidek, 27, berkata, dia menyedari kediaman didiami keluarga sejak sembilan tahun lalu itu terbakar selepas dihubungi penduduk pada jam 3 pagi.

“Sejak semalam keadaan saya tidak tenteram dan perasaan membuak-buak untuk pulang melihat rumah.

“Kebiasaannya, apabila berkunjung ke rumah mentua, saya dan suami, Ahmad Hussien Omar, 31, akan pulang ke rumah selepas anak pulang dari sekolah di Paya Resak.

“Bagaimanapun, kelmarin, saya mengajak suami balik ke Rhu Muda, tetapi suami enggan dan sehingga petang kami tidak jadi pulang dan tidur di rumah mentua sebelum dikejutkan dengan dengan kejadian itu jam 3 pagi tadi (semalam),” katanya.

Najwa Izzati yang memiliki tiga anak termasuk bayi berusia setahun bagaimanapun bersyukur kerana kebakaran itu tidak membabitkan nyawa keluarga berikutan ketika kejadian mereka tidak ada di rumah.

Kejadian itu menyebabkan keluarga terbabit mengalami kerugian besar apabila pelbagai barangan dalam rumah termasuk pakaian, dokumen penting, barangan berharga dan sebuah motosikal musnah dalam kebakaran yang mengakibatkan kerugian dianggarkan RM300,000.

Selain rumah pasangan terbabit, sebuah rumah kedai yang juga tiada penghuni ketika kejadian turut musnah dalam kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marang, Timbalan Penguasa Bomba (TPgB) Hassan Embong berkata, operasi memadamkan kebakaran itu dilakukan dengan tiga jentera dan kekuatan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marang dan Wakaf Tapai seramai 14 orang diketuai Komander Operasi Pegawai Bomba (PB) Mohd Husni Faizal Omar.

Disiarkan pada: July 20, 2017 @ 6:49am
d