mutakhir

Penduduk tahan tujuh lori bauksit

Oleh myMetro

Kuantan: Akibat tidak tahan dengan sikap pengusaha lori bauksit yang masih berdegil menggunakan laluan kampung bagi mengangkut bahan mineral itu, seramai 10 penduduk Kampung Alor Batu, dekat sini, nekad menahan tujuh lori bauksit, malam kelmarin.

Difahamkan mereka menahan lori bagi melakukan rundingan supaya lori bauksit itu tidak terus mengancam keselamatan mereka dengan menggunakan jalan kampung.

Lori itu dikatakan hanya dibenarkan beroperasi antara jam 8.30 pagi sehingga 7 malam sahaja namun masih ada pengusaha menjalankan aktiviti haram sekitar jam 11 malam sehingga awal pagi.

Menurut seorang penduduk, Mohd Zul Abdullah, 44, mereka tertekan dan kecewa dengan sikap pengusaha lori bauksit menggunakan laluan kampung bagi mengangkut bahan mineral ke Pelabuhan Kuantan, selain beroperasi melebihi had masa ditetapkan.

Katanya, aktiviti keluar dan masuk lori bauksit di dalam kawasan kampung menyebabkan penduduk kampung terdedah risiko serta mengancam keselamatan mereka.

“Sememangnya kami terkesan dengan aktiviti ini dengan kehadiran lori yang melalui kawasan dalam kampung tanpa mengira masa menyebabkan laluan menjadi sibuk selain mengganggu penduduk yang keluar masuk untuk ke sekolah dan tempat kerja.

“Sebelum ini, mereka beroperasi mengikut waktu dan laluan ditetapkan iaitu daripada kawasan Ladang Kelapa Sawit Bukit Goh menggunakan laluan Loji Air Semambu dan terus ke Jalan Pintasan Kuantan-Pelabuhan untuk ke pelabuhan, tetapi kini mereka mula memilih melalui jalan kampung kerana dikatakan boleh menjimatkan masa.

“Sebelum ini penduduk kampung hanya berdiam diri dan memerhati saja sehingga mereka semakin berani dengan menggunakan jalan dalam, keadaan kampung sekarang semakin kotor akibat dipenuhi debu dan habuk,” katanya.

Mohd Hassan Samsudin, 38, kesal dengan tindakan pengusaha yang gagal mematuhi syarat dikenakan dan hanya memikirkan keinginan mereka untuk meneruskan aktiviti mengangkut bauksit.

“Kami tidak mahu perkara ini berlarutan dan mereka perlu mematuhi rundingan itu kerana kami tidak pernah menghalang kegiatan mereka sejak dari awal lagi,” katanya.

Disiarkan pada: July 20, 2017 @ 7:24am
d