mutakhir

Jangan main soal mati!

Oleh myMetro

Kuala Lumpur: Satu status di laman sosial yang mendakwa bayi lelaki tertelan pin tudung meninggal dunia jam 8 pagi semalam adalah tidak benar.

Sebaliknya mangsa, Muhammad Naufal Hakim yang berusia 10 bulan, berada dalam keadaan stabil di Wad Pediatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Jurucakap HKL berkata, berita menyatakan kanak-kanak terbabit meninggal dunia adalah palsu.

“Bayi berkenaan kini dirawat dan dipantau di wad kanak-kanak selepas dikeluarkan daripada unit rawatan rapi (ICU).

“Sebelum ini, bayi terbabit menjalani pembedahan pada Jumaat lalu bagi mengeluarkan pin tudung berkenaan,” katanya.

Seorang wanita dengan menggunakan akaun Puteri Syafida Fida memuatnaik satu status berbunyi ‘Tertelan kerongsang mak dia..kerongsang mak dia pakai kat bahu tu..sambil dukung anak pin kerongsang terbuka masa ditelan tu. innalillahiwainnalillahirajiun.. Berhati2 kalau ada anak kecil ..#pesanan.

Jurucakap HKL berkata, orang ramai diminta berhati-hati ketika memuatnaik sesuatu kejadian tanpa kesahihan yang boleh mengguris perasaan keluarga bayi itu.

Harian Metro semalam melaporkan, bayi terbabit terpaksa dibedah selepas tertelan pin tudung sebesar tiga sentimeter, Jumaat lalu.

Disiarkan pada: July 20, 2017 @ 7:32am
d