mutakhir

Kelindan maut, pemandu cedera

Oleh Farah Suhaidah Othman

KELINDAN maut manakala pemandu treler cedera selepas kenderaan berat membawa muatan kepingan besi dinaiki dipercayai merempuh lori tangki di Kilometer 265.9 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan dekat Ipoh, malam tadi.

Bagaimanapun, identiti kelindan dan pemandu treler lelaki masih belum dikenal pasti manakala pemandu lori yang turut terbabit dalam kemalangan itu tidak cedera.

Ketua Zon 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Penguasa Bomba Kanan 1, Mohd Khairul Jamil berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.59 malam tadi sebelum bergegas ke lokasi kejadian bersama bantuanBalai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh dan pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) Pasir Putih.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian anggota bomba mendapati lori tangki yang membawa muatan bahan kimia dipercayai cecair latex mengalami kebocoran manakala muatan treler berkenaan jatuh di atas lebuh raya.

“Anggota bomba mendapati kelindan treler tersepit di bawah tayar lori sebelum mengeluarkan mangsa berkenaan menggunakan alat menyelamat.

“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan bertugas sebelum mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Jamil berkata, susulan kebocoran bahan kimia terbabit, anggota Hazmat membuat pengasingan kepada pengguna jalan raya pada 150 meter dari lokasi kejadian.

“Lebihan bahan kimia yang tidak bocor dipindahkan ke lori tangki lain dan operasi pembersihan cecair yang tumpah di atas lebuh raya masih dijalankan,” katanya.

Sementara itu, jurucakap PLUS berkata, laluan kontra dibuka di Kilometer 265 arah selatan berikutan kerja pengalihan sisa kepingan besi yang jatuh di atas lebuh raya.

“Trafik mula bergerak perlahan pagi ini namun masih berada dalam keadaan terkawal,” katanya.

Disiarkan pada: July 20, 2017 @ 11:26am
d