mutakhir

Mana mau lari [METROTV]

Oleh Mohd Hilmie Hussin

SERAMAI 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen negeri pada Ops Mega di beberapa lokasi di Melaka Tengah, Melaka, tadi.

Operasi bermula jam 7 pagi hingga jam 2 petang itu menyaksikan lapan lelaki warga Bangladesh, tiga lelaki dan dua wanita warga Indonesia serta seorang lelaki warga China berusia 22 tahun hingga 47 tahun ditahan di dua daripada tiga tapak pembinaan yang diperiksa.

Timbalan Pengarah Imigresen negeri K Vishnutharan berkata, 273 warga asing diperiksa pada operasi terbabit.

“Semua pendatang asing tanpa izin terbabit didapati melakukan kesalahan membabitkan pemalsuan dokumen, melanggar syarat pas permit, memasuki dan tinggal di negeri ini tanpa permit sah dan berada di negeri ini selepas permit tamat tempoh dan dibatalkan.

“Kami memeriksa 46 warga asing di Gajah Behrang, 71 di Taman Shahbandar, Kota Laksamana dan 156 lagi di Jalan Bendahara.

“Sebaik menyedari kehadiran kami, ada pekerja asing yang melarikan diri malah sebahagiannya bersembunyi dalam ruang tertentu di tingkat tujuh bangunan 13 tingkat yang dalam pembinaan di Kota Laksamana,” katanya.

Semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 39b Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Disiarkan pada: July 20, 2017 @ 3:01pm
d