mutakhir

Mangsa kelima rabies ditempatkan di wad khas

Oleh Zuhainy Zulkiffli

LELAKI berusia 52 tahun iaitu individu kelima disahkan dijangkiti penyakit anjing gila atau rabies di Serian, Sarawak kini ditempatkan di wad pengasingan khas Hospital Umum Sarawak bagi rawatan lanjut.

Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Dr Chong Chee Kheong berkata, sehingga kelmarin, mangsa yang berasal dari Kampung Remun itu dilaporkan masih tidak sedarkan diri namun keadaannya tidak kritikal.

Katanya, lelaki itu disahkan dijangkiti virus itu selepas menjalani ujian makmal pada 18 Julai lalu.

"Dia belum dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) tetapi ditempatkan di wad pengawasan bagi membolehkan tahap kesihatannya dipantau dari semasa ke semasa dan pesakit itu perlu diletakkan dalam pengudaraan (ventilasi).

"Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus melakukan pemantauan terhadap semua mangsa yang disahkan negatif penyakit rabies sekurang-kurangnya bagi tempoh tiga minggu hingga enam bulan," katanya kepada media di Georgetown, hari ini.

Dr Chong berkata, walaupun tiga kanak-kanak masing-masing di Melaka dan Perak disahkan tidak dijangkiti rabies namun kesihatan mereka akan terus dipantau dari semasa ke semasa.

"Simptom rabies ini ada peringkat, daripada tidak kritikal kepada kritikal. Jadi pemantauan dijalankan dalam tempoh terbabit," katanya.

Sehingga kini, wabak rabies sudah meragut nyawa empat kanak-kanak di Serian manakala tiga kanak-kanak masing-masing seorang di Melaka dan dua di Perak yang disyaki mengalami simptom berkenaan disahkan negatif rabies.

Disiarkan pada: July 20, 2017 @ 3:32pm
d