mutakhir

Dipenjara sehari, denda RM10,000

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

TEKONG bot warga Vietnam dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu kerana cuba merasuah pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada 9 Julai lalu.

Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz membuat keputusan itu selepas tertuduh, Nguyen Van Huan, 46, mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memberi suapan bernilai RM1,000 kepada pegawai APMM, Kapten (M) Robert Teh Geok Chuan sebagai dorongan melepaskan bot nelayan bernombor pendaftaran PAF 4788.

Tertuduh didakwa berbuat demikian untuk melepaskan bot berkenaan daripada ditahan kerana melakukan kesalahan membawa 12 awak-awak tanpa sebarang dokumen sah mengikut Akta Perikanan 1985.

Tertuduh mengaku salah melakukan kesalahan itu di kapal APMM di dalam Zon Maritim Malaysia (ZMM) jam 12.10 malam pada 9 Julai lalu.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Farah Yasmin Salleh.

Akhbar sebelum ini melaporkan seorang tekong bot warga asing cuba merasuah pegawai APMM ketika mereka ditahan kerana menangkap ikan pada jarak 62 batu nautika dari pantai Kuala Kemaman, Kemaman.

Disiarkan pada: July 20, 2017 @ 4:25pm
d