mutakhir

Tuai buah-buahan lebih berkualiti

Oleh Noorazura Abdul Rahman

SEBANYAK 1,857 daripada 12,090 hektar tanaman buah-buahan di Kedah sedang melalui proses pemulihan menerusi Program Pemulihan Buah-buahan Terpilih membabitkan hampir 2,260 petani.

Antara pokok buahan-buahan yang terpilih adalah durian, rambutan, manggis, cempedak dan dokong.

Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Mohamed Bukhori Abdul Rahman berkata, program itu akan membantu menambah pendapatan petani apabila kualiti buah-buahan dapat dipertingkatkan.

Katanya, ia sudah dilaksanakan sejak 2014 menerusi kerjasama agensi-agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

"Setiap petani yang menyertai program ini akan mendapat tunjuk ajar daripada Jabatan Pertanian bagaimana cara untuk membuat pangkasan iaitu proses membuang dahan dan meremajakan pokok.

"Malah, ilmu cantuman dewasa untuk klon pokok tua juga akan diajar dan dipraktikkan di mana petani tidak perlu menanam pokok baru seperti rambutan, sebaliknya hanya perlu menunggu 18 bulan untuk mendapatkan hasil (berbuah)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Jalinan Mesra Pemimpin, Pelaksana dan Petani Berpisah Tiada di Dusun Projek Kluster Rambutan, Kampung Tanjung Putus, Mukim Padang Temak, Kuala Nerang, Padang Terap, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Kebajikan Masyarakat negeri Datuk Suraya Yaacob.

Menurutnya, menerusi fasa pertama bermula 2014 hingga 2016, sebanyak 776 hektar dusun membabitkan seramai 781 petani sudah melalui proses itu dengan peruntukan sebanyak RM4.4 juta.

“Manakala bagi fasa kedua bermula 2016 hingga 2017, seramai 1, 479 petani menyertai program ini membabitkan 1,081 hektar dengan peruntukan lebih RM1.2 juta,” katanya.

Disiarkan pada: July 20, 2017 @ 5:16pm
d