mutakhir

Mai pekena durian Pulau Pinang

Oleh Hairie Norli

LEBIH 100 jenis durian menjadi pilihan pada Pesta Durian Pulau Pinang 2017 bertemakan 'Mai Pekena Durian Pulau Pinang' di Anjung Indah, Balik Pulau, yang dirasmikan hari ini.

Pesta berkenaan bermula 15 Jun lalu hingga 15 Oktober ini.

Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan negeri Dr Afif Bahardin berkata, pesta itu sememangnya dinantikan pengunjung setiap kali mengunjungi Pulau Pinang dan tahun ini sambutan diterima amat baik sekali khususnya pelancong dari dalam dan luar negara.

Beliau berkata, kemeriahan sambutan Pesta Durian Pulau Pinang 2017 membolehkan orang ramai menikmati keenakan durian dari dusun di Balik Pulau yang diperakui antara terbaik di negara ini.

"Harga durian pada musim ini agak mahal berbanding musim sebelum ini, tetapi pengunjung dari luar dan dalam tidak pernah putus sepanjang tempoh musim Pesta Durian Pulau Pinang ini diadakan Di Tapak Gerai Anjung Indah.

"Hasil promosi besar-besaran oleh Kerajaan Negeri, Durian Pulau pinang sememangnya menjadi satu jenama yang tidak perlu diperkenalkan lagi," katanya.

Sempena Pesta Durian Pulau Pinang 2017, orang ramai berpeluang merasai dan menikmati pelbagai jenis durian termasuk Hati Merah, Kapri, Labu, Udang Merah, Musang King, Duri Hitam, Kulit Hijau, D11, Kucing Tidur, Hor Loh, Thean Sang, Durian Lipan, Ang Bak Kia, Siow Hong, D14 dan bermacam jenis lagi pada harga RM20 sekilogram hingga RM50 sekilogram.

Disiarkan pada: July 20, 2017 @ 6:42pm
d