mutakhir

Maut dirempuh kereta

Oleh Siti Nor Amirah Abu Bakar

ANGGOTA polis berpangkat Konstabel maut selepas motosikal ditunggang dirempuh sebuah kereta di Jalan Klang-Teluk Intan berdekatan Taman Murni, Kuala Selangor, awal pagi semalam.

Dalam kejadian 1 pagi itu, Mohamad Azreen Anuar, 27, yang juga anggota Tugas Am di Balai Polis Kuala Selangor meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di kepala.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Ruslan Abdullah berkata, kemalangan berlaku apabila kereta dipandu lelaki berusia 34 tahun gagal dikawal lalu melanggar motosikal mangsa.

"Mangsa kemudian melanggar dua pejalan kaki sebelum motosikal berkenaan terbabas ke bahu jalan dan dia maut di tempat kejadian.

"Ketika kejadian, pemandu kereta itu dikatakan meninggalkan lokasi namun berjaya ditahan untuk tindakan lanjut," katanya.

Menurutnya, seorang daripada pejalan kaki yang berusia 19 tahun mengalami kecederaan di kaki manakala seorang lagi berusia 37 tahun tidak cedera.

"Jenazah dihantar ke hospital berdekatan untuk bedah siasat," katanya.

Ruslan berkata, hasil pemeriksaan ujian air kencing ke atas pemandu kereta itu didapati positif dadah.

"Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Disiarkan pada: July 20, 2017 @ 8:12pm
d