mutakhir

Pensyarah warga Iran ditemui mati

Oleh Muhammad Apendy Issahak

PENSYARAH lelaki warga Iran ditemui mati di universiti swasta di Seri Iskandar dipercayai akibat meminum bahan kimia hari ini.

Kejadian itu mengakibatkan khidmat bomba digunakan bagi membersihkan dan memeriksa kawasan yang dipercayai terdedah kepada bahan kimia.

Sumber berkata, mangsa berusia 40-an dan mayatnya dihantar ke Hospital Batu Gajah sebelum dipindahkan ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk dibedah siasat esok.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Seri Iskandar berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai berlaku tumpahan bahan kimia di universiti terbabit pada 11.30 pagi.

"Bomba menerima panggilan daripada polis yang memaklumkan berlaku kejadian tumpahan raksa di ruangan koridor dan pejabat di universiti terbabit.

"Sebaik tiba di lokasi didapati polis dan hospital sudah berada di kawasan kejadian. Pasukan Hazmat membuat pemeriksaan sebelum berjaya menemui kesan muntah manusia yang bercampur dengan bahan bersinar," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, turut ditemui sebotol bahan merkuri sulfate sebanyak 250 gram di dalam rak di ruangan pejabat berhampiran.

"Anggota Hazmat bertindak membuat penandaan di kawasan itu dan seterusnya mengambil sampel muntah dan juga botol mengandungi bahan kimia terbabit sebelum menyerahkannya kepada polis untuk dihantar ke Jabatan Kimia.

"Pembersihan sekitar kawasan kemudian dilakukan dengan menggunakan cecair peluntur sehingga bersih sebelum operasi tamat pada 5 petang," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superintendan Mohamad Zainal Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan menurutnya setakat ini kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.

"Bedah siasat masih belum dilakukan dan punca sebenar kematian hanya akan diketahui selepas ia dijalankan di HRPB esok," katanya

Disiarkan pada: July 20, 2017 @ 10:57pm
d