mutakhir

Sokongan tidak berbelah bahagi

Oleh Siti A'isyah Sukaimi

SEMUA 191 Ketua UMNO Bahagian di seluruh negara masih teguh dengan memberikan sokongan tidak berbelah bahagi di belakang Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, sokongan itu dinyatakan oleh mereka semasa pertemuan dengan Najib di kediaman rasminya semalam.

"Semua Ketua Bahagian terbabit menyatakan akan terus berada di belakang presiden parti demi agama, bangsa dan masa depan.

"Justeru, saya bersyukur sehingga hari ini mereka masih 'solid' di belakang presiden," katanya berucap pada Perasmian Serentak Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Putrajaya 2017 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Putrajaya berkata, sekiranya semangat bersatu padu tidak terus dikekalkan, akan ada pihak yang mengambil kesempatan untuk cuba meruntuhkannya.

"Kita selalu sebut kalau kita tidak bersatu, pasti ada orang cuba meruntuhkan...mereka (pembangkang) ambil kaedah memburukkan presiden (UMNO) kerana mereka tahu parti kuat apabila presiden kuat," katanya.

Pada masa sama, Tengku Adnan mendedahkan, ada cubaan daripada sebuah parti serpihan cuba menarik ahli parti untuk meninggalkan UMNO sekali gus menyertai mereka.

"Hal ini turut berlaku di Bahagian Putrajaya dan saya tahu puak bunga (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) ini menghubungi setiap ketua cawangan tetapi mereka beritahu saya akan terus bersama dan menyokong UMNO," katanya.

Disiarkan pada: July 20, 2017 @ 11:04pm
d