mutakhir

Buka kertas inkuiri

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

Ipoh: Polis sudah membuka kertas inkuiri (siasatan dalaman) membabitkan kes dua anggota Balai Polis Sentral Ipoh yang ditahan selepas didapati cuba membawa masuk barang larangan ke dalam lokap, Selasa lalu.

Dalam kejadian jam 10 malam itu, kedua-dua anggota berpangkat koperal dan lans koperal itu ditahan di dalam sebuah kereta di pekarangan balai berkenaan selepas dilihat berada dalam keadaan mencurigakan.

Difahamkan, pemeriksaan dijalankan ke atas tubuh badan anggota itu tidak menemui barang salah sebelum pemeriksaan kemudian dijalankan di dalam kenderaan berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak Datuk Gan Tian Kee berkata, pemeriksaan di dalam kenderaan menemui dua plastik sampah mengandungi pelbagai barangan dipercayai cuba dibawa masuk ke dalam lokap.

Menurutnya, antara barangan yang ditemui ialah bateri, rokok, minuman botol, coklat, ubat gigi, kek, daun terup dan beberapa barangan lain.

“Kertas inkuiri (siasatan dalaman) sudah dibuka bagi siasatan dijalankan sebelum polis mengklasifikasikan kes berkenaan mengikut seksyen bersesuaian,” katanya dalam satu kenyataannya, di sini, semalam.

Disiarkan pada: July 21, 2017 @ 5:45am
d