mutakhir

TH sudah sedia [METROTV] ...لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ

Oleh Nasharuddin Muhammad

LEMBAGA Tabung Haji (TH) sudah bersedia sepenuhnya untuk menerima kedatangan jemaah haji Malaysia yang akan tiba ke kota suci ini secara berperingkat mulai Isnin.

Pengarah Operasi Haji Madinah 1438 Hijriah Mohd Zawawi Bostam berkata, kumpulan pertama jemaah dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Madinah di Madinah, kira-kira jam 10 pagi.

Beliau berkata, pihaknya sudah membuat persiapan sejak awal tahun bagi memastikan kelancaran musim haji kali ini dan setakat ini sudah 80 peratus siap.

Menurutnya, berikutan pertambahan kuota jemaah pada tahun ini seramai 30,200 orang, pihaknya juga terpaksa menambah bilangan hotel penginapan bagi memenuhi permintaan.

Katanya, pada 2016, jumlah rasmi jemaah Malaysia seramai 22,300 orang dengan kira-kira 50 peratus atau sekitar 10,000 hingga 11,000 orang berada di Madinah.

"Memandangkan musim haji kali ini bilangan jemaah meningkat kepada sekitar 15,000 orang yang akan berada di Madinah, kita terpaksa menambah bilangan hotel penginapan.

"Pada 2016, hanya tiga hotel penginapan disediakan tetapi tahun ini, sebanyak 11 hotel disediakan dengan lapan akan beroperasi sepenuhnya dalam fasa satu ini," katanya pada sidang media di Pusat Operasi Haji Madinah di sini, semalam.

Mohd Zawawi berkata, selain hotel penginapan, pihaknya juga menyediakan pelbagai perkhidmatan lain untuk kemudahan jemaah.

Menurutnya, semua perkhidmatan disediakan dibahagikan mengikut zon dengan tahun ini, tiga zon perkhidmatan disediakan berbanding dua pada 2016.

Katanya, antara perkhidmatan dan kemudahan disediakan termasuk kaunter kebajikan, pergerakan jemaah, maklumat berkaitan ibadat, pengeluaran wang, penghantaran bagasi ke tanah air, klinik, kaunseling serta kemudahan telefon i-talk untuk menghubungi waris di tanah air yang dikendalikan Telekom Malaysia Berhad (TM).

Beliau berkata, secara keseluruhan seramai 215 kakitangan akan bertugas menguruskan jemaah di Madinah daripada keseluruhan 600 petugas pada musim haji tahun ini.

"Ini antara cabaran yang kita hadapi untuk menguruskan bilangan jemaah yang bertambah pada tahun ini sekitar 15,000 yang akan berada di Madinah sebelum mereka berangkat ke Makkah, " katanya.

Mohd Zawawi berkata, bagi memastikan kelancaran operasi pengurusan serta perjalanan ibadat mereka sama ada di Madinah atau Makkah, jemaah dinasihatkan sentiasa mematuhi segala arahan petugas dari semasa ke semasa.

Disiarkan pada: July 21, 2017 @ 12:18pm
d