mutakhir

Langgar lembu, rempuh penunggang

Oleh Safuri Kamarudin

DUA lelaki maut manakala dua yang lain parah dalam kemalangan di Jalan Parit Panjang-Kuala Ketil, berdekatan Kampung Guar Tinggi, Kuala Ketil, Baling, 1 pagi, hari ini.

Mangsa, Muhammad Janatul Firdaus Ahmad Zulkifli, 20, dan rakannya, Roslan Mohammad, 23, berasal dari Kampung Banggol Serdang, Tembak B, Kuala Ketil maut ketika perjalanan ke Klinik Kesihatan Kuala Ketil.

Mereka yang menunggang dan membonceng motosikal Nitro dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah dari Kuala Ketil namun sebaik tiba di tempat kejadian dirempuh kereta yang hilang kawalan selepas berlanggar lembu melintas jalan.

Manakala dua lagi, Muhammad Shakir Roslan, 19, juga dari Kampung Banggol Serdang, Tembak B, dan Ahmad Norhakimie Mohd Shawal, 18, dari Tumpat Kelantan yang menaiki motosikal Demak Evo cedera parah di kepala dan badan akibat rempuhan itu.

Ketua Polis Daerah Baling, Superitendan Shariffuddin Yusof berkata, motosikal berkenaan dari arah Kuala Ketil sebelum dirempuh kereta dari arah Parit Panjang .

Beliau berkata, setibanya di tempat kejadian kereta kereta yang dipandu Muhamad Hafiz Mat Rejab, 19, dipercayai melanggar lembu yang melintas jalan dari kiri ke kanan.

"Selepas melanggar lembu pemandu kereta berkenaan hilang kawalan lalu terbabas ke kanan dan merempuh dua motosikal itu.

"Keempat-empat remaja berkenaan juga tidak memakai topi keledar manakala pemandu kereta tidak memiliki lesen memandu," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987, kerana memandu dan menyebabkan kematian.

FOTO ihsan Muhammad Ammar

Disiarkan pada: July 21, 2017 @ 1:40pm
d