mutakhir

Duit sapu, tanah tak ada

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

AHLI perniagaan bergelar Datuk dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan, hari ini atas enam pertuduhan memperdayakan tiga individu dengan menawarkan lot tanah tidak wujud membabitkan kerugian RM114,067 pada 2010.

Tertuduh Datuk Nazrul Izad Mohd Arsad mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pendakwaan dibacakan di hadapan Majistret Nordiana Abd Aziz.

Mengikut pertuduhan, Nazrul Izad berdepan dakwaan menipu Ahmad Zaimani Zulkifli, 41, dengan menawarkan lot tanah tidak wujud hingga mendorongnya membayar cek tunai berjumlah RM30,245.40 di alamat B-8 Jalan Bukit Sekilau, Kuantan pada 19 Oktober dan 1 Disember.

Tertuduh juga berdepan tiga pertuduhan menipu Siti Sepiah Sh Ab Rani, 56, dengan menawarkan lot tanah tidak wujud sehingga mendorongnya membayar cek tunai berjumlah 51,721.80 di lokasi sama pada 12 Oktober, 30 November dan 16 Disember.

Nazrul Izad yang diwakili peguam Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar turut didakwa menipu Zaiton Jusoh, 49, menyebabkannya membayar cek tunai berjumlah RM32,100 di lokasi sama pada 10 November.

Semua pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum 10 tahun serta sebat dan boleh dikenakan denda.

Nordiana menetapkan ikat jamin RM30,000 iaitu RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan 23 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

Disiarkan pada: July 21, 2017 @ 4:04pm
d