mutakhir

100 artifak Rasulullah SAW akan dipamerkan di Johor

Oleh Ibrahim Isa

KERAJAAN Negeri Johor dengan kerjasama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Tengku Putra Haron Aminurrashid Tengku Hamid Jumat akan membawa hampir 100 artifak berkaitan Nabi Muhammad SAW untuk dipamerkan sepanjang September ini.

Tengku Putra Haron Aminurrashid berkata, semua artifak tulen itu diperolehi dari kenalannya yang kebetulan dalam jelajah mempamerkan semua artifak itu di Nusantara.

"Semua artifak tulen dan bersijil ini dipinjam dari muzium dan pengumpul timur tengah serta Brunei.

"Mereka (pemilik) mahu semua artifak ini dipamerkan supaya lebih ramai umat Islam dapat melihatnya dengan dekat.

"Pameran akan diadakan di Malaysia, Brunei, Singapura dan Indonesia dan kita di Johor bertuah kerana hampir 100 artifak ini akan dipamerkan di negeri ini sepanjang September ini," katanya pada Majlis Rumah Terbuka di Dewan Cahaya TNB Kempas di sini, hari ini.

Menurutnya, walaupun rumah terbuka dianjurkan kali ini bermula jam 2 hingga 6 petang, pihaknya menjangkakan lebih 7,000 penduduk akan datang kerana mahu melihat artifak berkenaan.

Katanya, pada majlis ini dia sempat meminjam lima artifak termasuk empat berkaitan Rasullullah SAW iaitu bekas bekam, pasir makam, tongkat, rambut dan janggut.

"Bermula 1 hingga 30 September ini, hampir 100 artifak berkaitan Rasullullah SAW akan dipamerkan di dalam Dewan Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato Onn di sini.

"Pengunjung dikenakan bayaran sebanyak RM20 bagi dewasa dan RM10 untuk kanak-kanak namun bagi penduduk Kempas, kami akan mengeluarkan kupon supaya mereka boleh menyaksikannya secara percuma.

"Hari ini tiada bayaran dikenakan dan kami juga tidak memasang lagu raya kecuali selawat dan marhaban," katanya.

Disiarkan pada: July 21, 2017 @ 6:31pm
d