mutakhir

[UPDATE] Dua beradik mangsa kebakaran selamat dikebumikan [METROTV]

Oleh Mohd Hanafis Abd Haris dan Nadzreen Shah Mat Salim

JENAZAH dua beradik warga emas yang maut dalam kebakaran di rumah di Jalan SS 2/4, Petaling Jaya awal pagi hari ini, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Taman Ehsan, Kepong.

Allahyarham Rohani Abdul Manan, 89 dan adik lelakinya, Ahmad Lokman Abdul Manan, 73, dikebumikan jam 3.30 petang hari ini.

Kedua-dua jenazah sebelum itu disembahyangkan di Masjid Aminah Al-Muhairi, di Jalan SS 2/4, Petaling Jaya selepas solat Jumaat.

Dianggarkan lebih 80 orang terdiri daripada keluarga, sanak-saudara, kenalan menghadiri majlis pengebumian.

Terdahulu, kedua-dua warga emas terbabit maut dalam kebakaran kira-kira 3 pagi.

Mayat Ahmad Lokman ditemui di pintu dapur tingkat bawah, manakala mayat kakaknya, Rohani ditemui di dalam tandas tingkat atas rumah berkenaan.

Cucu kepada Rohani iaitu Zain Ariff Zulfikri, 25, bagaimanapun sempat menyelamatkan diri.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Azmi Osman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu daripada jiran mangsa pada 3.38 pagi, semalam.

"Seramai 12 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Damansara dan Penchala dikerahkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kami mendapati api sedang marak dan berjaya dikawal sepenuhnya beberapa minit kemudian," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Katanya, kedua-dua mangsa yang melecur 10 peratus dibawa keluar dari lokasi kejadian sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Disiarkan pada: July 21, 2017 @ 6:48pm
d