mutakhir

Contohi kejayaan umat Islam terdahulu

Oleh Muhamaad Razis Ismail

Umat Islam diminta terus muhasabah diri untuk memastikan ajaran Islam dapat disampaikan dengan lebih berkesan.

Naib Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, generasi dahulu di zaman Rasulullah SAW dan sahabat mencapai kejayaan hebat dalam menyebarkan ajaran Islam sehingga ke seluruh pelusuk dunia.

"Kita perlu muhasabah diri, mengapa kerja Islam di zaman generasi awal capai kejayaan hebat dan kita tidak capai kejayaan sehebat mereka.

"Di zaman Rasulullah SAW dan sahabat hidup di tengah masyarakat jahiliyah, yang sanggup tanam anak hidup-hidup, perang sesama sendiri dan hidup dengan undang-undang rimba namun mereka dapat dilembutkan hati dengan Islam.

"Kita hari ini kejayaan terlalu perlahan, mengapa? sudah tentu ada perkara yang tidak kena yang perlu kita lakukan muhasabah diri," katanya semasa berucap merasmikan Ijtima Antarabangsa Perpaduan Ummah Rantau Asia di Dataran Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau yang juga Presiden PAS berkata, umat Islam juga berdepan serangan media barat yang menyebarkan Islamofobia dalam kalangan masyarakat bukan Islam yang bertujuan menakut-nakutkan mereka dengan ajaran Islam.

"Islamofobia ini boleh dihapuskan jika masyarakat bukan Islam berlapang dada dan membuat perbandingan antara kekerasan yang pernah dilakukan oleh segelintir masyarakat Islam dengan gerakan pelampau yang lain.

"Sebenarnya kumpulan bukan Islam lebih ganas dari Islam contohnya pengeboman di Hiroshima dan siapa yang mencipta senjata nuklear," katanya.

Disiarkan pada: July 21, 2017 @ 7:45pm
d