mutakhir

Naik LRT sepanjang hari

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

MURID Pusat Tahfiz Al Azizah berusia 11 tahun yang dilaporkan hilang semalam, sudah pulang ke rumahnya di Taman Keramat, Kuala Lumpur, kira-kira 6 petang, hari ini.

Ibunya, Nor Laily Zakaria, 37, berkata, Aqmal Khaleq Firman Hasani bersama seorang rakan berusia 13 tahun dipercayai keluar dari pusat tahfiz akibat tekanan pembelajaran.

"Aqmal memaklumkan sepanjang tempoh sehari menghilangkan diri, dia dan rakannya bermalam di Stesen LRT Taman Melati, di sini.

"Dia juga memaklumkan mereka menaiki LRT sepanjang hari ke beberapa stesen di Setiawangsa, Seri Rampai dan Datuk Keramat tanpa hala tuju sebelum masing-masing pulang ke rumah," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, Aqmal tidak mengalami sebarang kecederaan dan dalam keadaan sihat.

"Saya lega melihatnya sudah pulang dan tidak berlaku sebarang kejadian tidak diingini terhadapnya.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu mencari Aqmal sejak semalam," katanya yang sudah menarik laporan polis yang dibuat berhubung kejadian itu.

Kedua-dua kanak-kanak itu dikatakan keluar daripada pusat tahfiz berkenaan kira-kira 2 petang semalam sebelum disedari hilang oleh seorang ustaz yang memaklumkan kejadian itu kepada ahli keluarga.

Disiarkan pada: July 21, 2017 @ 8:34pm
d