mutakhir

Bantu semua golongan

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Dungun: Riak kegembiraan jelas terpancar di wajah lebih 10,000 warga Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) apabila diraikan pada Majlis Mesra Rakyat dan Sambutan Hari Raya Wilayah KETENGAH 1438H/2017 di Bandar Ketengah Jaya, di sini, kelmarin.

Selain dihidangkan pelbagai hidangan istimewa seperti sate, lemang, ketupat dan roti canai, pihak KETENGAH tidak melupakan golongan kurang bernasib baik termasuk orang kurang upaya, anak yatim, fakir miskin dan pesakit yang memerlukan bantuan.

Majlis berkenaan turut diserikan dengan kehadiran Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pada majlis itu, seramai 76 anak yatim terdiri daripada murid sekolah rendah di sekitar Ketengah Jaya masing-masing menerima RM100 setiap seorang melalui pembukaan akaun Sijil Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sebagai persediaan untuk pengajian mereka.

Menurut Ismail Sabri, sumbangan itu diharap dapat menggalakkan sifat menabung dalam diri setiap pelajar demi masa depan mereka.

“Selain itu, usaha KETENGAH menubuhkan Tabung Amanah Masyarakat KETENGAH dilihat langkah terbaik dalam membantu golongan kurang berkemampuan.

“Tabung yang ditubuhkan pada 2004 itu bertujuan mengumpul dana bagi membantu golongan yang memerlukan seperti golongan miskin, sakit melarat, orang kurang upaya, anak yatim dan sebagainya hasil sumbangan anak-anak syarikat KETENGAH.

“Malah, sepanjang Ramadan lalu, KETENGAH mengagihkan bantuan kepada 2,174 penduduk dengan perbelanjaan RM731,500.

“Ia membabitkan sumbangan RM300 dan hamper barangan makanan yang sedikit sebanyak dapat membantu penduduk meringankan beban perbelanjaan yang kian meningkat pada hari ini,” katanya.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Bandar dan Wilayah Datuk Borhan Dolah, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Nawi Mohamad, Timbalan Pengerusi KETENGAH yang juga Ketua UMNO Bahagian Dungun Datuk Din Adam dan Pengurus Besar KETENGAH Omar Ismail.

Pada majlis sama, Ismail Sabri turut menyampaikan geran tanah kepada 517 penduduk di kawasan KETENGAH.

Dalam pada itu, pembukaan sebuah pusat rehabilitasi di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Al-Muktafi Billah Shah (AMBS), dekat sini, sejak Januari lalu memberi manfaat kepada penduduk KETENGAH.

Timbalan Pengerusi KETENGAH Datuk Din Adam berkata, sebelum ini, penduduk Wilayah KETENGAH iaitu AMBS, Bandar Ketengah Jaya, Bukit Besi, Seri Bandi dan Ceneh Baharu perlu ke bandar Dungun yang terletak lebih 30 kilometer untuk mendapatkan rawatan dan pemulihan penyakit kronik.

“Kewujudan pusat rehabilitasi yang beroperasi setiap Ahad hingga Khamis itu mengurangkan beban penduduk wilayah ini dari segi perbelanjaan untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan dengan purata 35 pesakit sebulan,” katanya.

Menurut Din, KETENGAH turut menyerahkan van berharga RM158,600 selain tiga katil khas dengan setiap satu berharga RM2,830 pada majlis sama.

“Buat permulaan, semua katil ini akan ditempatkan di rumah tiga pesakit kronik di sekitar Bandar Ketengah Jaya,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, KETENGAH bakal membangunkan projek pembangunan bercampur membabitkan 43 rumah teres setingkat dan dua lot rumah kedai di Bandar Ketengah Jaya, di sini, menjelang Oktober depan.

Katanya, projek perumahan dibina di tanah berkeluasan 5.7 hektar itu dijangka mengambil masa setahun untuk disiapkan dengan harga di bawah RM100,000.

“Pembinaan rumah mampu milik ini bertujuan memenuhi permintaan tinggi golongan belia luar bandar yang mahu memiliki rumah sendiri,” katanya yang turut menyerahkan kunci bangunan rumah kedai dua tingkat bernilai RM2.36 juta yang dibangunkan KETENGAH.

Disiarkan pada: July 22, 2017 @ 5:38am
d