mutakhir

Lelaki maut terjun flat

Oleh Zairee Mohd Yasak

Melaka: Seorang lelaki maut akibat cedera parah selepas dipercayai terjun dari flat sembilan tingkat di Jalan Bendahara, di sini, jam 4 petang kelmarin.

Penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Sam, 35, berkata, sebelum kejadian suasana di flat itu sunyi sebelum penghuninya dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat.

“Saya tercari-cari punca bunyi itu namun sebaik melihat ke ruang legar saya mendapati ada seorang lelaki tak dikenali dalam keadaan terbaring tak sedarkan diri di atas lantai berhampiran rumah pam.

“Kami segera menghubungi polis untuk memaklumkan kejadian itu. Ini bukan kejadian pertama kerana sebelum ini ada beberapa kes orang luar datang ke flat ini untuk bunuh diri dengan terjun dari tingkat sembilan,” katanya.

Menurutnya, ketika melakukan pemeriksaan penduduk turut menemui beberapa keping wang kertas RM1 dipercayai milik lelaki terbabit ditinggalkan berhampiran bilik tangki air di tingkat tujuh.

Difahamkan satu alat penerima isyarat perkhidmatan televisyen satelit milik seorang penghuni di tingkat tujuh rosak dipercayai tersangkut pada lelaki terbabit ketika dia terjun dari bangunan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad, mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 4.40 petang dan sepasukan anggota diarahkan ke lokasi untuk melakukan siasatan awal.

“Hasil siasatan awal mendapati lelaki itu terjun dari tingkat sembilan bangunan berkenaan, kami mengenal pasti identitinya yang sebenar untuk tindakan lanjut.

“Mayat lelaki itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat, setakat ini kami tidak mengesan sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya.

Disiarkan pada: July 22, 2017 @ 6:27am
d