mutakhir

Geng 'kamikaze' dalam perhatian [METROTV]

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

Kuala Lumpur: Polis memberi perhatian serius terhadap golongan penunggang motosikal ‘kamikaze’ yang gemar melanggar isyarat lampu merah di sekitar ibu kota.

Malah tinjauan wartawan Harian Metro mendapati golongan ini bertindak terlebih berani dengan berhenti di tengah-tengah persimpangan sambil menanti masa sesuai untuk melanggar isyarat lampu merah.

Kebanyakan kesalahan ini dikesan dilakukan golongan belia yang sanggup memperjudikan nyawa selain membahayakan pengguna jalan raya lain.

Mengulas lanjut, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussain berkata, kesalahan itu dikesan dilakukan di kawasan sibuk sekitar ibu negara sejak JSPT KL memulakan operasi dengan lebih tegas sejak 18 Julai lalu.

Menurutnya, kesalahan trafik itu tidak hanya membabitkan motosikal dan kereta, malah bas serta kenderaan perdagangan termasuk lori simen dan lori muatan berat turut dikesan melanggar lampu merah setiap hari.

Beliau berkata, kesalahan berkenaan sentiasa diberi keutamaan dari aspek penguatkuasaan undang-undang namun masih ramai pengguna jalan raya yang berdegil enggan mematuhi isyarat lampu merah.

“Disebabkan itu, kami meningkatkan operasi menahan mereka yang gagal mematuhi lampu isyarat bermula kelmarin. Lebih banyak pemandu kenderaan akan diambil tindakan selepas ini,” katanya.

Disiarkan pada: July 22, 2017 @ 6:47am
d