mutakhir

Ingat senang senang ke nak lolos?

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor menahan 15 pendatang asing tanpa izin (PATI) di kawasan Hutan Pesisir Pantai Tanjung Lompat, dekat Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor, hari ini.

Antara yang diberkas termasuk lapan wanita Indonesia dalam serbuan pada kira-kira 2 pagi.

Tujuh lelaki Indonesia turut dicekup dalam serbuan Op Pensura dengan kerjasama Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi.

Komander PPM Wilayah Dua Johor, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, semua PATI itu ditemui anggota bot ronda RH32, anggota Op Landai PPM Pengerang dan anggota Cawangan Khas IPD Kota Tinggi ketika membuat rondaan di lokasi berkenaan.

"Kita menemui sekumpulan tujuh lelaki dan lapan wanita warga Indonesia yang berusia antara 20 hingga 42 tahun ini di lokasi terbabit.

“Siasatan awal mendapati, mereka mengaku secara lisan hendak pulang ke Indonesia menggunakan bot pancung," katanya.

Beliau berkata, semua PATI itu kemudian dibawa ke Balai Polis Bandar Penawar untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Akta Imigresn 1959/63 kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan iaitu gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri sah.

Selain itu, mereka turut ditahan atas kesalahan berada di Malaysia melebihi tempoh yang dibenarkan dan cuba keluar dari Malaysia mengikut laluan yang tidak diwartakan.

Disiarkan pada: July 22, 2017 @ 1:41pm
d