mutakhir

Ini KPI baru UMP

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak minta Universiti Malaysia Pahang (UMP) melakukan kajian dan pemindahan kemahiran teknologi rel kereta api kepada rakyat Malaysia.

Ini berikutan memandangkan industri itu akan dibangunkan secara meluas di negara ini.

Beliau berkata, 300 individu dipilih dari kumpulan pertama untuk mempelajari dan menghadiri kursus berkaitan kemahiran teknologi pembinaan, penyelenggaran dan pengurusan rel kereta api yang akan dikendalikan universiti itu.

"Sebelum ini UMP fokus kepada teknologi automotif dalam kajian penyelidikan mereka.

“Jadi kini saya minta mereka fokus kepada teknologi rel kereta api kerana kerajaan mempunyai Projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) yang menghubungkan Kuala Lumpur ke Pantai Timur yang akan saya lancar September ini.

"UMP akan mulakan proses memindahkan kemahiran (teknologi rel kereta api) ini kepada rakyat malaysia dengan kursus enam bulan yang akan dikendalikan universiti ini," katanya dalam ucapan majlis pelancaran pembinaan masjid UMP dan Raikan Syawal Perdana Menteri bersama warga UMP dan Komuniti di Kampus UMP, Pekan.

Hadir sama Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh dan Naib Canselor UMP Profesor, Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata, kajian dan pemindahan kemahiran teknologi rel kereta api itu juga sebagai satu petunjuk prestasi utama (KPI) baru untuk UMP.

“Selepas berjaya dalam membangunkan program berteraskan teknologi automotif, kerajaan beri KPI baru kepada UMP untuk membangunkan kemahiran pembinaan dan penyelenggaraan rel kereta api," katanya.

Disiarkan pada: July 22, 2017 @ 4:51pm
d