mutakhir

Demi zuriat

Oleh Nur Saliawati Salberi

Melaka: Pemikiran yang sentiasa positif selain sanggup menghadapi apa sahaja kemungkinan demi mendapatkan zuriat, membuahkan hasil buat pasangan Choong Tich Froong, 41, dan isteri Lee Beng Imm, 43, apabila mereka dikurniakan dua anak lelaki melalui kaedah persenyawaan in-vitro (IVF).

Menurut Lee, selepas enam tahun mendirikan rumah tangga, mereka masih belum dikurniakan cahaya mata lalu mencuba rawatan moden menerusi kaedah permanian beradas (IUI), namun nasib tidak menyebelahi untuk mengandung.

“Walaupun ragu-ragu selepas dicadangkan rakan, namun selepas bersemuka dengan doktor dan diberi penerangan mengenai apa sebenarnya teknik IVF sekali gus memberi harapan buat saya dan suami.

“Apa yang penting kita kena berusaha dan perlu sedikit pengorbanan daripada segi masa kerana perlu sering berulang-alik berjumpa doktor bagi memastikan proses IVF berjalan lancar,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian pembukaan Klinik Pakar Wanita Mey dan Usahasama Bersama Metro IVF, di Taman Kota Laksamana, di sini, semalam.

Ibu kepada dua anak itu berkata, dia dan suami kini mampu menarik nafas lega apabila usaha mereka menggunakan teknik IVF membuahkan hasil apabila dikurniakan anak masing-masing berusia lima dan dua tahun setengah.

“Selepas berjaya melahirkan anak pertama pada 2011 dan berehat seketika, kami mengambil keputusan untuk mencubanya kali kedua, ternyata berhasil.

“Semasa proses IVF untuk anak kedua, dia perlukan masa setahun kerana melalui pembekuan embrio-pemindahan embrio beku (FET), namun semuanya berjalan lancar,” katanya.

Sementara itu, Pengasas Metro IVF Dr Tee Swi Peng berkata, kadar harga berpatutan dan peratusan yang tinggi untuk proses persenyawaan berlaku berjaya menarik pesakit dari luar negara untuk mendapatkan khidmat mereka.

“Boleh dikatakan bilangan pesakit luar negara semakin meningkat antara 10 hingga 20 peratus setiap tahun untuk mendapatkan rawatan.

“Kepercayaan mereka diperoleh untuk mencuba khidmat IVF di sini kerana selain harga berpatutan dan peratusan untuk berjaya tinggi, kita turut mempunyai perkhidmatan bertaraf antarabangsa,” katanya.

Disiarkan pada: July 23, 2017 @ 5:40am
d