mutakhir

Gugur sebagai syuhada

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim

Kuala Lumpur; Biarpun empat pemuda dilaporkan maut selain lebih 300 lagi cedera dalam serangan dilakukan tentera Israel selepas solat Jumaat kelmarin, semangat rakyat Palestin dalam membebaskan Masjid al-Aqsa tidak luntur.

Aktivis Aman Palestin Ahmad Muntaha Zainal Bahrin, 23, yang kini berada di bumi berkenaan berkata, kawalan keselamatan terus dipertingkatkan rejim Zionis di kawasan berkenaan terutamanya di Masjid al-Aqsa.

“Sehingga kini, penggunaan alat pengesan logam ataupun pagar elektronik terus dipraktikkan tentera rejim.

“Pihak Muslim pula tidak berganjak dan terus berkumpul mendesak kawalan keselamatan itu ditarik balik,” katanya ketika dihubungi Metro Ahad, semalam.

Menurutnya, dia sempat bertemu keluarga Muhammad Abu Ghanam, 18, yang syahid dalam serangan tentera Israel di Bukit Zaiton di kawasan perkuburan.

“Keluarganya akui masih bersedih dengan kehilangan itu, tetapi berbangga kerana pemuda itu syahid ketika berjuang membebaskan al-Aqsa,” katanya.

Ahmad Muntaha berkata, suasana di kebanyakan bandar utama di Jerusalem kini kembali tenang.

“Rakyat Palestin kini melakukan aktiviti harian seperti biasa. Tetapi, setiap kali waktu solat mereka bergegas ke Masjid al-Aqsa sebelum menyertai demonstrasi bagi mendesak Israel menghapuskan sekatan dikenakan,” katanya.

Katanya, kesan serangan tentera Israel masih memenuhi kawasan berkenaan terutamanya di jalan.

“Saya dapat lihat serpihan peluru getah dan bom asap serta darah memenuhi jalan sekitar al-Aqsa. Kesan serangan masih jelas,” katanya.

Ahmad Muntaha bersama tujuh rakannya tiba di Masjid al-Aqsa sejak Khamis lalu dapat melihat sendiri kekejaman tentera Israel terhadap rakyat Palestin.

Katanya, perjalanan masuk ke kawasan itu bukan mudah sebaliknya diganggu tentera Israel.

“Mereka (tentera Israel) sengaja melambatkan perjalanan kami setiap kali mahu melepasi kawasan pemeriksaan. Orang luar dilayan dengan biadab apatah lagi rakyat Palestin.

“Sudah pasti layanan kejam diberikan tentera Israel,” katanya menjelaskan, mereka dijadualkan pulang ke Malaysia, esok.

Kemuncak ketegangan antara rejim Zionis dan rakyat Palestin kelmarin meragut sekurang-kurangnya empat nyawa selain mencederakan lebih 300 individu lain.

Serangan menggunakan peluru hidup, peluru getah, bom asap dan gas pemedih mata oleh tentera rejim dilakukan bagi menyuraikan lebih 50,000 peserta demonstrasi di luar Masjid al-Aqsa.

Ketegangan antara kedua-dua pihak berlaku apabila Israel menghalang umat Islam menunaikan Solat Jumaat pada 14 Julai lalu dalam Masjid al-Aqsa.

Dua hari selepas sekatan, Israel menarik balik larangan itu sebelum mempraktikkan penggunaan alat pengesan logam ataupun pagar elektronik di setiap pintu masuk masjid suci berkenaan.

Sebagai tanda protes, warga Palestin menunaikan solat di luar masjid dan mendesak kawalan keselamatan itu ditarik balik.

Disiarkan pada: July 23, 2017 @ 7:05am
d