mutakhir

13 gangster direman 21 hari

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

SERAMAI 13 lelaki yang disyaki terbabit dalam kumpulan kongsi gelap direman 21 hari oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Noor Aisyah Ahmad terhadap 13 suspek yang berusia antara 25 hingga 32 tahun selepas membenarkan permohonan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor.

Tempoh tahanan reman sehingga 12 Ogos itu dibenarkan bagi membolehkan siasatan lanjut terhadap semua suspek dibuat mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

Terdahulu, semua suspek berpakaian lokap berwarna jingga dan ungu itu dibawa ke mahkamah kira-kira 10 pagi diiringi anggota polis berpakaian ‘Man In Black’.

Dalam satu kenyataan media, Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, semua suspek ditahan susulan dua insiden pergaduhan di kawasan Mount Austin dan Taman Daya, Johor Bahru, pada 10.15 malam, 8 Julai lalu.

Beliau berkata, suspek terdiri daripada lima ahli Kumpulan Kongsi Gelap 36, Kumpulan 24 (empat), Kongsi Gelap 18 (dua) dan masing-masing seorang ahli Kumpulan 21 dan 04.

Disiarkan pada: July 23, 2017 @ 11:18am
d